JUN 2023

Premier Sarawak Sertai Perarakan Niti Daun


KUCHING: Premier Sarawak,  Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Dayak 2023, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai perarakan‘Niti Daun’ yang berlangsung meriah petang Sabtu.

Perarakan bermula kira-kira pada jam 2.15 petang di Perkarangan Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Kuching di Old Court House  itu merupakan perarakan sejauh 1.2 kilometer.

Sejumlah 91 kontinjen yang melibatkan seramai 3,000 peserta yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan Dayak, persatuan-persatuan kebudayaan Dayak, ketua-ketua kaum dan masyarakat Dayak menyertai perarakan tersebut.

‘Niti Daun’ 2023 merupakan acara perarakan bagi kaum Dayak untuk meraikan kejayaan dan pencapaian dalam sosio-ekonomi yang mereka kecapi pada tahun sebelumnya. Program ini  merupakan penganjuran kali ketiga selepas diadakan pada 1993 dan 2018. 

Turut hadir adalah Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Acara ‘Niti Daun’ Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak serta dif-dif kehormat yang lain.

Sumber dari : Sarawakku